SEGALANYA BERMULA DI SINI

JUMPA KAMI DI FACEBOOK KHIDMAT MASYARAKAT DUN KIJAL

Jumaat, 4 Februari 2011

Lega SMK Bukit Kuang bakal dibuka

BUKIT KUANG – Ibu bapa dan penjaga di kawasan ini boleh menarik nafas lega kerana mulai Januari tahun depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kuang bakal dibuka sekali gus ibu bapa mahupun penjaga tidak perlu lagi mengeluarkan perbelanjaan pengangkutan anak serta dapat berjimat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, dengan jarak sekolah baru yang berada di tengah kawasan itu, anak boleh ke sekolah dengan hanya berjalan kaki ataupun menunggang basikal.


Katanya, disebabkan ketiadaan sekolah di kawasan itu sebelum ini kebanyakan anak terpaksa bersekolah jauh termasuk di Chukai dan perlu menaiki bas.

“Namun, bila SMK Bukit Kuang ini dibuka dan beroperasi mulai tahun depan ibu bapa atau penduduk di sini tidak perlu lagi mengeluarkan kos pengangkutan untuk anak kerana jarak sekolah dekat.

“Kemudahan sekolah baru ini adalah antara bentuk bantuan kepada rakyat yang kita beri sebagai tanda keprihatinan kerajaan. Tetapi, kadangkala rakyat tidak pandai menilai apa yang kerajaan berikan,” katanya sempena perasmian gelangang futsal Pengkalan Cicar, dekat sini semalam.

Hadir sama, isteri beliau, Toh Puan Seri Norliza Mahmud, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Mohd Hisham Zubir dan Pegawai Daerah, Mohamad Kamil Othman.

Ahmad berkata, gelanggang futsal baru Pengkalan Cicar itu adalah gelanggang futsal pertama di daerah ini yang mempunyai reka bentuk baru berbanding gelanggang futsal sedia ada di Teluk Kalong, Kijal dan Seri Bandi.

Katanya, kemudahan gelanggang futsal baru itu sebagai hadiah kepada pengundi di peti undi Bukit Kuang yang jumlahnya ramai yang mencecah 4,000 orang sekali gus memberi kemudahan kepada golongan belia untuk beriadah.

“Jumlah, pengundi di peti undi Seri Bandi juga ramai iaitu berjumlah 3,000 lebih, jadi untuk tahun ini kita juga telah luluskan tender segera pembinaan sebuah lagi gelanggang futsal di Seri Bandi yang mengikut reka bentuk gelanggang futsal di sini.

“Kita juga akan bina gelanggang setiap tahun namun ia mengikut keadaan dan keperluan di sesuatu kawasan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan Ahmad turut menyempurnakan perasmian Kejohanan Futsal Tertutup Bukit Kuang anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Peti Undi Bukit Kuang.

Sumber : Sinar Harian OnLine

Tiada ulasan:

Catat Ulasan