SEGALANYA BERMULA DI SINI

JUMPA KAMI DI FACEBOOK KHIDMAT MASYARAKAT DUN KIJAL

Jumaat, 4 Februari 2011

Jangan lemahkan jentera kerajaan - MB

KUALA TERENGGANU 27 Jan. - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan agar jentera kerajaan tidak cuba dilemahkan dalam usaha kerajaan memberi lebih kesejahteraan kepada rakyat melalui pelbagai perancangan yang perlu dijayakan.
Sambil menegaskan demikian beliau berkata, kerajaan negeri tidak mahu penjawat awam bersifat 'seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing' dan 'menjadi api dalam sekam'.
Beliau mengajak mereka bermaufakat dengan semua pihak agar ia memberikan lebih kekuatan bagi menyempurnakan segala yang dirancang.

Sehubungan itu, beliau mengulangi peringatan kepada semua ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan agar lebih kerap mendampingi anggota masyarakat bagi menyelesaikan masalah mereka.
"Ini bukan seruan kali pertama saya, bahawa pegawai mesti turun padang. Jika wakil rakyat ramai duduk bersama rakyat di kawasan mendengar masalah rakyat, pegawai juga perlu duduk bersama wakil rakyat untuk menyelesaikan masalah rakyat" katanya.
Beliau berkata demikian di majlis Bicara Eksekutif bersama Menteri Besar dengan pegawai dan anggota penjawat awam kerajaan negeri dan Pusat, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Kira-kira 2,500 orang hadir pada majlis itu termasuk Setiausaha Kerajaan, Datuk Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abdul Razak Ismail; Ahli Exco kerajaan; ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan serta pemimpin masyarakat.
Program itu bagi memperjelaskan mengenai perancangan, perkembangan, pencapaian yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam pelbagai bidang di samping aspirasi pemimpin.
Menteri Besar berkata, sebagai pegawai, mereka lebih berkemampuan menyelesaikan masalah kerana ada sistem memiliki kemampuan tersebut.
"Sebab itulah, umum menggelarnya sebagai jentera kerajaan yang mampu merubah keadaan dalam memperkasa pentadbiran atau mensejahterakan rakyat.
"Sebagai jentera pelaksana, pentadbiran kerajaan negeri mesti kemas, kukuh dan tegas, tetapi ketegasan kita janganlah sampai menghakis kemesraan kepada rakyat kerana ramai yang bergantung kepada perkhidmatan yang diberikan," katanya.
Ahmad berkata, sekiranya tidak boleh membantu rakyat, sekurang-kurangnya boleh memberi petunjuk kepada mereka untuk pergi ke jabatan berkaitan dengan urusan yang mereka perlukan.
"Itulah sebabnya, penjawat awam tidak kira kedudukan dalam hiraki pentadbiran, perlu tahu skop tanggungjawab jabatan lain supaya mereka dapat membantu rakyat terutama masyarakat luar bandar yang kabur mengenai fungsi sesuatu jabatan dan pendekatan mesra pelanggan perlu wujud serta menjadi amalan setiap penjawat awam ," katanya.
Ahmad berkata, nilai murni itu bukan rekaan atau sekadar slogan tetapi adalah nilai universal yang diterima pakai, bukannya diolah dengan logik semata-mata tetapi disadur dengan nilai-nilai Islamik.
"Kita boleh menerima nilai-nilai ini kerana ia tidak bercanggah dengan Islam, tetapi menerima tanpa menghalusi dan menjadikan satu budaya, usaha ini menemui kegagalan," katanya.
Katanya, usaha kerajaan untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat dan negeri ini sudah melalui beberapa fasa pembangunan yang terancang sejak 35 tahun lalu dan setiap fasa dilalui dengan cabaran tersendiri untuk mencorak kehidupan rakyat ke arah yang lebih selesa dan terjamin.
Beliau bersyukur kerana dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, perkhidmatan awam Terengganu mendapat pengiktirafan demi pengiktirafan dan berharap kecemerlangan ini berterusan.
Katanya, apa saja boleh dicapai dengan amanah, komitmen dan disiplin yang tinggi dan ketua-ketua jabatan perlu pandai menilai antara kakitangan di bawah jagaan mereka yang benar-benar mempamerkan kebolehan multi-tasking dan bekerja bukan untuk memenuhi waktu yang ditetapkan dari lapan hingga lima petang sahaja.
Sumber : Utusan Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan