SEGALANYA BERMULA DI SINI

JUMPA KAMI DI FACEBOOK KHIDMAT MASYARAKAT DUN KIJAL

Jumaat, 4 Februari 2011

Empat penuntut Terengganu selamat tiba di KLIA

KUALA TERENGGANU 3 Feb. - Tiga pelajar tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan seorang pelajar tajaan Yayasan Terengganu yang belajar di Mesir merupakan kumpulan pertama pelajar negeri ini yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah hari tadi.

Mereka ialah sebahagian daripada 323 pelajar tajaan MAIDAM dan 247 pelajar Yayasan Terengganu yang kini berada di Mesir dan sedang menunggu ditempatkan di pusat pemindahan di bangunan milik Tabung Haji di Jeddah, Arab Saudi.
Urusan untuk memindahkan mereka ke Jeddah bagaimanapun sedang dijalankan berperingkat-peringkat oleh Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia.
Seorang jurucakap Yayasan Terengganu berkata, pelajar tajaan yayasan itu, Wan Muhammad Saifullah Wan Ariffin, 20, dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu malam ini.
"Bandar Jeddah menjadi pusat transit bagi para pelajar dan rakyat Malaysia yang lain.
"Kerajaan Arab Saudi juga telah memberi kebenaran untuk pelajar-pelajar kita berada di negara itu bagi tempoh tidak lebih daripada satu bulan," kata jurucakap itu di sini hari ini.
Katanya, usaha juga sedang dibuat untuk memindahkan pelajar-pelajar Malaysia dengan menggunakan kapal laut.
"Kami masih menunggu maklumat terkini berhubung perkara itu.
"Bagaimanapun, difahamkan, kapal yang akan membawa pelajar dan rakyat Malaysia lain akan berlabuh sama ada di pelabuhan Pulau Pinang atau Port Klang," ujar beliau.
Sehubungan itu beliau meminta, ibu bapa pelajar supaya bersabar kerana usaha telah dilakukan oleh kerajaan dalam menguruskan perpindahan tersebut secepat mungkin.
"Penginapan serta makan dan minum juga akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan bagi mereka yang berada di pusat transit itu," jelasnya.

SUMBER : UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan