SEGALANYA BERMULA DI SINI

JUMPA KAMI DI FACEBOOK KHIDMAT MASYARAKAT DUN KIJAL

Jumaat, 4 Februari 2011

Kadar jenayah di Kemaman menurun - Mohd. Shukri

KEMAMAN 20 Dis. - Kadar jenayah di Kemaman menurun sehingga 29.83 peratus kepada 728 kes berbanding 995 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan menyifatkan, perkembangan itu memberi gambaran keberkesanan usaha membendung jenayah yang dilaksanakan Ibu Pejabat Daerah (IPD).
"Kejayaan IPD Kemaman menurunkan kadar jenayah sehingga melebihi kadar 21 peratus sangat baik kerana kita melihat sedikit sukar untuk sesebuah daerah yang sedang pesat membangun untuk mengawal kadar jenayah.

"Biasanya, bila sesebuah kawasan pesat membangun indeks jenayah pada masa sama turut meningkat, namun kita kagum kerana IPD Kemaman berjaya mengawal kenaikan dan berjaya mengurangkan kadar jenayah ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam lawatan kerja ke IPD, di Cukai di sini sempena pertukarannya ke Perak dengan jawatan sama mulai tahun depan.
Ketibaannya disambut Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdullah Sani Salat dan warga IPD Kemaman merupakan lawatan kerja yang keenam.
Menurut Mohd. Shukri, pendekatan IPD Kemaman yang banyak menganjurkan program kemasyarakatan termasuk program 'community policing' serta hubungan yang erat dengan masyarakat menjadi penyumbang kepada penurunan kadar jenayah.
Sementara itu, mengulas mengenai usaha membina IPD Kemaman baru di Bandar Baru Kijal, beliau berkata, keputusan mengenai cadangan itu yang turut menjadi salah satu projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) masih belum diketahui.
"Namun, sekiranya projek ini diluluskan, kita berharap kawasan sedia ada di Cukai ini tidak sepatutnya diambil alih oleh mana-mana pihak sebaliknya dikekalkan sebagai Balai Polis Cukai kerana bandar baru itu agak jauh dengan bandar Cukai," katanya.
Menurutnya, keanggotaan di IPD Kemaman juga perlu dikaji semula seterusnya dibuat penambahan anggota memandangkan kepesatan pembangunan dan logistik daerah yang luas dan bersempadan dengan negeri Pahang.
"Penstrukturan polis dalam penugasan perlu dikaji kerana saya melihat perlu ada penambahan anggota terutama membabitkan unit kereta peronda berdasarkan faktor logistik daerah ini,' katanya.
Sempena lawatan kerja itu, Mohd. Shukri turut merasmikan Bilik Rehat Kelab Polis Daerah Kemaman selain ke Pengkalan Marin Wilayah Tiga di Teluk Kalong, Kijal.

Sumber ; Utusan Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan