SEGALANYA BERMULA DI SINI

JUMPA KAMI DI FACEBOOK KHIDMAT MASYARAKAT DUN KIJAL

Sabtu, 5 Februari 2011

LTdL 2011 cetus harapan baru

PENAMPILAN 14 pelumba tempatan menerusi tiga pasukan tempatan dan sebuah pasukan dari Australia pada edisi ke-16 Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini meniup harapan baru buat sukan berbasikal lebuh raya negara.



Kejayaan Terengganu ProAsia Cycling (TSG) menduduki tempat kedua dalam kategori pecut menerusi pelumbanya, Anuar Manan, serta Mohd Saufi Mat Senan yang muncul sebagai pelumba terbaik tempatan, harus dilihat sebagai kejayaan negara secara keseluruhan.
“Saya sudah memberikan kayuhan terbaik hari ini (semalam) tetapi ternyata Andrea (Guardini) dan Robert (Forster) terlalu pantas untuk saya kejar di garisan penamat,” kata Anuar yang mendapat sokongan padu penyokong tempatan sepanjang kejohanan.
“Tetapi saya banyak belajar daripada perlumbaan kali ini dan pada masa depan, saya yakin dapat merampas kembali kejuaraan Raja Pecut LTdL bersama TSG.”

Sementara itu, rakan sepasukannya, Mohd Saufi turut berkeyakinan tinggi terhadap kemampuan pasukan bertaraf benua yang baru ditubuhkan itu.

“Saya muncul pelumba terbaik kerana pendakian di Genting Highlands di mana saya menamatkan kedudukan di tempat ke-21 keseluruhan. Ini kali pertama saya mendaki hingga ke puncak Genting, jadi mungkin kayuhan saya akan lebih baik pada lain kali.”

Le Tua Cycling Team pula buat pertama kali melakukan kejutan apabila menduduki tempat kedua keseluruhan dalam kategori individu menerusi pelumba kelahiran Colombia yang sudah mencecah 43 tahun, Libardo Nino Corredor tetapi kerjasama sepasukan tiga pelumba tempatannya - Mohd Razif Salleh, Adrian Chuah dan Ng Yong Li menjadi antara faktor yang menjulang pasukan itu.
Pasukan kebangsaan Malaysia pula boleh berbangga dengan kehadiran Loh Sea Keong yang pernah mewakili Marco Polo dari China apabila kerap melakukan ‘breakaway’ termasuk pada perlumbaan terakhir di Dataran Merdeka, semalam.

Mohd Adiq Husainie Othman yang menjadi harapan pasukan Drapac Profesional dari Australia dijangka bakal mencapai kemuncak prestasinya dalam setahun dua lagi apabila menyerlahkan potensinya sebagai pelumba serba boleh dengan mencuri mata di zon pendakian, pecutan dan sering melakukan breakaway.

Selain 14 pelumba itu, beberapa pelumba muda lain mampu menjadi pendukung skuad berbasikal lebuh raya negara di masa depan tetapi ia turut bergantung kepada corak pengurusan dan latihan.

Sumber : Utusan Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan